Friday, November 25, 2011

Amanat Seorang Pemimpin Melayu-Islam...

Khas buat yang menjadi raja-raja, sultan-sultan, perdanamenteri-perdanamenteri, menteri-menteri, ketua-ketua serta mereka-mereka yang merasa diri mereka seorang pemimpin.

Arakian telah bertitah seorang raja melayu-islam yang dihormati, disanjungi dan ditaati rakyat pada suatu masa dahulu - kepada anakandanya yang bakal menggantikan beliau sebagai pemimpin bagi masyarakat melayu-islam sekitaran tahun 882 Hijriyah (1477 Masehi).

Kerna dizaman moden 'sains dan teknologi' sekarang ni, amat payah untuk seorang yang bergelar pemimpin Melayu (yang mengaku) Islam untuk diam mendengar bila diseru untuk kembali kepada ajaran Al-Quran dan Hadiths Rasulullah s.a.w - mungkinkah kerna Rasulullah itu bukan seorang yang berbangsa melayu?

Nah, kutitiskan disini amanat seorang pemimpin Melayu (yang berDeenkan) Islam - harap-harap memandangkan beliau seorang yang berbangsa Melayu - ada kiranya yang ingin mendengar dan mengambil iktibar dan pengajaran.

RESPECT and LOYALTY are EARNED - NOT given on DEMAND!!!

Sebelum kembali ke Rahmatullah pada sekitar 882H/1477M, Sultan Mansor Syah sempat berwasiat kepada orang-orang besar termasuk puteranya (Raja Hussin aka Sultan 'Alauddin Ri'ayat Shah) bakal pewaris baginda dengan suatu wasiat yang penting bagi setiap orang yang bergelar 'pemerintah':

"Ketahui olehmu, hai anakku, bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya. Yang hidup ini sedia akan mati juga sudahnya. Iman yang sempurna dan pekerti yang baik, itulah yang kekal, disebut orang selama-lamanya. Adapun sepeninggalan aku ini, hai anakku, hendaklah engkau berbuat sabar serta adil sangat-sangat, dan jangan tamak akan harta orang, kerana memakan hak sama Islam itu terlalu besar dosanya, tiada diampuni Allah swt melainkan dengan izin tuannya. 

Dan janganlah lagi khali engkau keluar di hadapan orang, kerana segala hamba Allah banyak terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah engkau tolong, jikalua teraniaya ia, hendaklah engkau selidiki baik-baik, supaya di akhirat tiada diberatkan Allah atas lehermu, kerna sabda Nabi s.a.w.: "kullukum raa'in wa kullukum mas'ulun 'an raa'iyyatihi", ertinya "sekelian kamu adalah pengembala dan kamu akan ditanya daripada segala gembalaan kamu"; yakni sekelian raja-raja di akhirat nanti akan ditanya oelh Allah Ta'ala darihal segala rakyatnya. Oleh yang demikian, maka harus engkau berbuat adil dan saksama, supaya di akhirat kelak diringankan Allah Ta'ala hisabmu.

Dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala orang-orang besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun bijaksananya dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan segala pergawainya dimanakah dapat ia melaksanakan bujaksanaannya itu? Dan lagi tidak akan sentosa kerajaannya, kerana raja-raja itu umpama api dan segala menteri itu umpama kayu, jikalau tiada kayu, bagaimanakah api itu dapat menyala? Seperti kata syair Parsi: "Ar-ayat juna bakhsanat Sultan khasad" yakni rakyat itu umpama akar, yang raja itu umpama pohon. Jikalau tiada akar nescaya pohon itu tiada akan dapat berdiri, demikianlah raja itu dengan rakyatnya.

Hai anakku, hendaklah engkau turut wasiatku ini supaya engkau beroleh berkat daripada Allah swt."

(Dipetik daripada 'Menyingkap Misteri Pulau Besar; Ana Faqir: hlm 89-90 yang memetik daripada 'Kajian Sejarah Melayu; Ali Ahmad: hlm 66)


No comments: